Cubaan pertama saya sedikit gagal. Biskut tidak terlalu rapuh walaupun bau butter sangat menyelerakan. Mungkin cara bancuhan saya yang tidak betul. Kemudian saya cuba gabungkan dengan resepi yang menggunakan campuran marjerin di Blog Ilham Mama.
Akhirnya biskut yang menepati citarasa saya terhasil. Rasa dan tekstur seimbang. Biskut yang rapuh dan berbau harum serta enak terhasil.
Resepi Biskut Lidah Kucing Pelangi
Oleh: Nuain's Kitchen
Bahan-bahan:
125gm mentega
125gm marjerin
175gm gula halus (gula kastor)
100ml putih telur (Suhu bilik)
200gm tepung gandum
1/4sk emplex (perangup biskut)
50gm tepung jagung
Pewarna merah, kuning dan biru
Cara-cara:
1. Ayak tepung gandum, tepung jagung dan emplex sekali. Ketepikan
2. Pukul mentega dan gula hingga berkrim (sampai kembang putih). Masukkan putih telur sedikit demi sedikit dan putar dengan kelajuan perlahan hingga sebati.
3. Masukkan tepung yang diayak tadi sedikit demi sedikit. Kaup balikkan dengan spatula sehingga rata sahaja.
4. Bahagikan adunan kepada 6 bahagian. Letakkan dengan warna pelangi. Saya hanya menggunakan 3 jenis pewarna sahaja iaitu merah, kuning dan biru. Untuk warna Oren tambahkan (Kuning + Merah), Hijau (Biru + Kuning) dan Ungu (Merah + Biru)
5. Masukkan adunan ke dalam piping bag dengan menggunakan Nozzle bulat dan picit secara mendatar ke dalam loyang lidah kucing atau loyang biasa menggunakan susunan warna pelangi
6. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan dahulu pada suhu 160°C selama 15-20 minit. Jangan biarkan permukaan atas biskut menjadi warna keperangan kerana ia akan menengelamkan warna pelangi
7. Biarkan biskut suam-suam kuku dan terus simpan di dalam bekas kedap udara
8. Biskut ini cepat lemau jika dibiarkan ia terdedah terus pada udara. Biskut yang lemau boleh dipanaskan semula 5-8 minit di dalam oven yang dipanaskan dahulu. Biskut tersebut akan ranggup kembali
No comments:
Post a Comment